Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Insyirah mengintai ke luar jendela yang dibuka sedikit untuk melihat mentari tengahari. Menyaksikan padang universitinya yang dibasahi hujan yang turun sejak subuh tadi. Sudah tiga hari hujan turun tiada hentinya. Keadaan ini biasa berlaku di negeri-negeri di pantai timur.

Hujung tahun bermakna mulanya musim tengkujuh. Tidak pernah terdetik di fikirannya akan tercampak ke negeri Terengganu ini. Masakan tidak, dari kecil hingga  kini, tak pernah dia berenggang dengan keluarganya sejauh ini.

Seluruh perasaan masih merintih akan masalah yang masih memberati fikirannya. Saban masa, dia bersungguh-sungguh berdoa agar Allah membendung perasaan kasihnya terhadap seseorang yang membuatkan hatinya kini gundah gulana. Alangkah merananya dia dalam keadaan ini. Hatta ibarat terkena minyak pengasih.

"Ya Allah, suburkanlah cintaku pada-Mu.." rintih Insyirah.

Insyirah terduduk dan beristighfar.

"Susahnya bila ada masalah hati ni," keluh Insyirah.

Dia mengeluh sambil tangan menarik kerusi belajar. Usai duduk, dia mencapai buku mikrobiologinya. Otak sudah diset untuk menyiapkan lab report yang tertunggak sedari pagi tadi dek kerana melayan lamunan yang entah apa-apa. Seketika, dia membaca doa belajar yang ditampal di dinding meja studinya.

Sedang tangan ligat menulis introduction of morphology dan characteristic of bacteria pada kertas kajang, azan Zohor berkumandang dari masjid berdekatan. Sayup-sayup saja kedengaran laungan kemegahan itu dek kerana kedudukan masjid itu yang jauh.

Habis saja dia membaca doa selepas azan, dia mengejutkan Aishah, rakan sebiliknya yang sedang tidur. Qailullah (tidur sebentar sebelum waktu Zohor) katanya.

"Sha, Sha bangun. Dah azan dah.." sambil memanggil, dia mengoyang-goyang bahu Aishah.

Usai solat zuhur berjemaah di surau asrama yang dipimpin oleh seorang muslimin, Insyirah masih berteleku di atas sejadah. Memikirkan masalah 'hatinya'.

'Ya Allah, kenapa masalah ini juga yang terbayang-bayang? Berdosanya aku mengabaikan-Mu.'

Insyirah memejam mata sambil tangan kiri memicit pelipisnya. Tanpa disedari, bibirnya mengeluh. Cukup kuat untuk didengari Aishah yang sedang melipat sejadah.

Aishah memandang Insyirah sekilas.

"Syirah.." Aishah memanggil lembut.

Dalam mata yang masih terpejam, Insyirah masih bermonolog.

'Tu la syirah, kenapa tak jaga pandangan tu..'

"Syirah.." Aishah masih setia memanggil.

"Kan susah sekarang. Bukan kau sendiri tak tahu, daripada pandangan yang tidak terkawallah, hati boleh rosak."

"Syirah.." kening Aishah sudah berkerut.

"Parah ni. Tiga kali panggil tak berjawab."

Lantas, kaki melangkah ke arah Insyirah. Bahu rakannya itu disentuh lembut. Mata Insyirah terbuka. Memandang Aishah yang merenungnya dengan senyuman.

"Masih fikirkan masalah yang enti cerita kat ana semalam?" Aishah akhirnya duduk di sebelah Insyirah. Tangan yang dibahu, dibawa ke jari-jemari Insyirah pula. Digenggam erat.

Insyirah tersenyum tawar tanpa gula.

"Susahlah ukhti nak jaga hati ni. Tak terdaya rasanya" Insyirah meluahkan.

"Ukhti, Ukhti... memanglah susah ukhti nak jaga hati ni. Siapa kata senang? Sebab itu kita kena ada banteng kita sendiri. Ingat tak ceramah Ilaajul Qulub kelmarin? Ingat tak apa ustaz tu cakap. Err...apa nama ustaz tu? Aa Allah...ana lupa pula." Aishah mengaru dagunya sambil matanya memandang dinding surau, cuba mengingati nama ustaz tersebut.

Terimbas seketika ceramah bertajuk "Al-Qalbu kunci dalam mencorakkan peribadi unggul" yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Usuluddin di universitinya. Memang bagus ceramahnya. Terasa bi'ah solehahnya di dewan itu yang rata-ratanya dihadiri kakak-kakak Fakulti Kotemporari Islam(FKI) yang majoritinya bertudung labuh. Ada juga yang berpurdah.

"Ukhti ni... Ustaz Syed Hadzrullathfi lah nama ustaz tu.." Syirah menjawab. Mahu tergelak juga rasanya bila melihatkan Aishah yang bersungguh sangat memikir nama ustaz tersebut.

"Oh ye ke, ana lupa la ukhti. Ha, ingat tak apa ustaz tu cakap untuk menjaga hati ni?"

Insyirah menghela nafas panjang. "Ala Aishah ni, orang tanya dia, dia tanya orang balik."

"Jangan pernah redha dengan maksiat?" Insyirah menjawab kembali dalam nada bertanya.
"Lagi?"
"Tak bersungguh nak berubah?"
"Lagi?" Aishah seronok bertanya sambil tersenyum nipis.
"La...enti ni. Ana tanya enti, enti tanya ana balik." Insyirah menampar bahu Aishah.

Ketawa Aishah pecah.

"Sakitlah ukhti."Aishah memegang bahunya. Terasa sengal seketika.
"Tu la, buli orang lagi."

Aishah menarik nafas dalam. Memandang Insyirah sekilas sebelum memulakan bicara.

"Apa yang ana dapat tangkap pasal ceramah semalam, hati ini ukhti, kalau tak dididik, tak ditarbiyah, tak dipupuk, lama-lama hati kita ini akan kotor. Dan ruang untuk menjadi orang yang ingkar terbuka luas. Cuba enti semak kembali macam mana mutabaah (jadual muhasabah ibadah) enti sampai enti ada masalah hati dengan muslimin ni. Ana kira, andai kita betul-betul menghayati dan menjaga mutabaah kita, insyaAllah, hati kita terpelihara. Betul tak ukhti?"

Insyirah mengangguk. Mengiakan. Seketika cuba bermuhasabah kembali mutabaahnya yang tak terjaga akhir-akhir ini disebabkan terlalu banyak mesyuarat untuk program islamik yang dikendalikannya. Mungkin inilah sebabnya aku jadi begini.

"Enti cakap kat ana semalam, enti mula ada masalah hati dengan muslimin ini bila enti dilantik untuk uruskan program tu kan?"

Sekali lagi Insyirah mengangguk. Ya, dari situlah aku mula kenal dengan muslimin itu.

"Ukhti, enti kena ingat. Yang enti nak buat ni program islamik tau. Nak menyampaikan dakwah kepada masyarakat di luar sana. Andai enti sendiri sebagai pemimpin dah tersilap langkah, berdakwah dengan hati yang lagho, bagaimana dakwah enti nak berkesan?"

Senyuman masih tak lekang dari wajah bersih Aishah.

"Ukhti, ingat tak apa kak Mardiyah pernah cakap masa usrah kita? Dia kata, jangan ingat enti buat maksiat ni, tidak memberi apa-apa kesan dalam hidup kita. Dan ana sangat terkesan dengan ayat tu. Ana ingat sampai sekarang ni."

Insyirah diam tak terkata. Tertunduk dia seketika sambil memintal hujung telekung yang masih tak dibuka. Kini, tinggal dia dan Aishah sahaja di dalam surau tersebut. Jemaah yang lain sudah lama beransur pergi.

"Asas segala kelalaian dan nafsu syahwat adalah kerana kita redha dengan nafsu dan maksiat yang kita lakukan. Dan asas ketaatan kepada Allah adalah kesedaran untuk merubah diri kita. Ana tak nafikan ukhti, dalam kita bermujahadah tak nak melakukan maksiat, ramai antara kita tersungkur kembali. Itu memang fitrah ukhti sebab bila kita nak berubah, kita takkan boleh secara mendadak. Kena perlahan-lahan.."

Insyirah merenung kembali Aishah, cuba menghadam point-point yang dilontarkan.

"Dan itulah yang enti perlu lakukan sekarang ni. Bangkit semula ukhti. Ingat, enti adalah dai'e! Jangan mengalah pada syaitan yang takkan mahu kita bangkit kembali apabila kita dah tersungkur! Cuba ya ukhti. Jangan risau. Ana akan sentiasa bagi sokongan kat enti. Bila hadiri meeting nanti, cuba tajdid (perbaharui) niat dan kawal pandangan."

"Tapi kan ukhti, ana perasan, bila ada meeting je ana akan rasa excited. Entah la mungkin sebab dapat jumpa dengan dia tu? Tapi dalam masa yang sama, ana cuba jaga pandangan. Ana tak tahulah ukhti. Kadang-kadang terserempak dengan dia pun ana dah jadi tak betul," Insyirah akhirnya bersuara.

"Astaghfirullahal'azim Syirah..jangan macam tu. Rosak hati enti nanti bila enti berterusan begini. Ingatlah ukhti, sifat soleh muslimin tu, Allah yang ciptakan. Maka cintailah Dia yang menciptakan sifat soleh itu sendiri. Ana faham masalah enti ni. Bukan menimpa enti sorang sahaja. Bahkan, menimpa juga para dai'e di luar sana yang gagal menjaga hati dalam melakukan dakwah."

"Jangan putus asa, Insyirah. Allah Maha Bijaksana. Kita sama-sama muhasabah kembali. Cinta Allah itu sendiri kita masih merangkak-rangkak untuk mencari apatah lagi mahu mencari cinta manusia pula. Kita ni sebagai hamba-Nya akan sentiasa diuji. Dan ujian setiap orang itu berlainan."

"Ada yang diuji pelajarannya, ada yang diuji kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa, ada yang diuji kemiskinan, penyakit yang tak dapat diubati..tapi bagi enti, Allah sediakan ujian sebegini," Aishah mengulas panjang.

Alhamdulillah,kata-katanya itu semua ilham daripada Allah SWT untuk disampaikan kepada sahabat di depannya ini. Sayangnya dia pada Insyirah hanya Allah yang Mengetahui. Mungkinkah itu yang dinamakan ukhuwah fillah (persaudaraan kerana Allah SWT)?

"Tapi ana tengok kawan-kawan yang lain tu ok je. Tak rasa apa-apa pun bila berdepan dengan muslimin?" Insyirah mencelah.

Aishah menarik nafas sedalam mungkin. Namun, senyum masih menghiasi raut wajahnya.

"Mungkin ada antara mereka yang sudah ada benteng mereka sendiri. Come on ukhti. Evaluasi diri. Jaga mutabaah, sibukkan dengan benda-benda baik, insyaAllah akan buat enti tak fikir-fikirkan masalah ni ok," tangan Aishah merangkul bahu Insyirah.

Insyirah tersenyum kelat. Tanpa berkata apa-apa.

Beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana walaupun dia sering lalai, tak kuat mengharungi jalan perjuangan ini, tetapi masih ada sahabat yang saling mengingatinya. Sudah pasti ia adalah satu anugerah dari Allah SWT.

Sungguh, Allah itu ada di sisi hamba-Nya.

Sifat pengampun-Nya mendahului kemurkaan-Nya.

"Dah la tu. Jom pergi makan tengahari. Nanti sakit perut pulak. Pagi tadi makan biskut je kan," kata-kata Aishah mematikan lamunan Insyirah.

Dalam sepi dingin malam, Insyirah muhasabah diri. Usai membersihkan badan tadi, dia mengerjakan solat sunat. Berdoa dan bersujud kerana dirinya terasa jauh daripada kemanisan ibadah.

Dia akui, belakangan ini, dia sudah hilang kemanisan dalam solatnya, zikirnya dan tadabbur Al-Qurannya.

Terasa diri hina kerana sibuk menagih cinta manusia yang ternyata bersifat fana. Dan kini, di sepertiga malam ini, dia menyembah dan bersujud pada Dia yang memiliki segala cinta.

Dia rindukan saat dan rasa nikmatnya ibadah itu. Sungguh, dia ini hakikatnya hamba Allah yang tak punya apa-apa.

Dia tahu benar, andai hambaNya kembali dengan selangkah langkahan taubat, pastinya Dia mengampunkan dosa hambaNya. Namun, disebabkan nafsu, hatinya menafikan kemurahan sifat Tuhan sang pencipta.

Syira, syira..tidakkah kau nampak semua itu?

Mata terasa panas.

Insyirah bersyukur kerana Allah masih memaut hatinya ke arah kebenaran. Apa pun takdir yang menimpa dirinya adalah atas kehendak Allah swt. Maka, sebagai hamba yang fakir, dia wajib redha dan ikhlas.

Insyirah menoleh ke arah Aishah yang masih lena. Dia memandang wanita itu dengan segumpal perasaan sayang yang mendasari jiwanya kala ini. Sebagai manusia biasa, jauh di lubuk hati, terdetik satu cetusan rasa kagum dengan peribadi Aishah yang begitu menjaga cinta yang belum layak lagi diserahkan kepada mereka yang tidak halal.

Apatah lagi mereka berdua masih lagi bergelar mahasiswi. Cita-cita perlu didahulukan daripada cinta itu sendiri.

Kejarlah cita-cita sebelum mengejar cinta. Kejarlah cinta Allah yang kekal abadi.

Pandangan mata Insyirah masih tertumpah pada Aishah. Roomatenya itu selalu mendoakan dan membantu dirinya menghadapi pertarungan ini. Juga mebimbing dia ke jalan kebenaran yang diredhai Allah.

Bibir diketap. Hatinya sayu mengenangkan dosa-dosa. Akhirnya, titisan jernih mengalir jua di pipi wanita itu. Lama sudah dia membelakangi Allah.

Ya Allah, ampunkanlah aku yang hina ini. Tak tertahan rasanya ya Allah dugaanMu ini. Ku pohon ya Rahman, jadikanlah cintaMu itu lebih aku hargai daripada dunia dan seisinya. Ya Jabbar, sesungguhnya aku memohon cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Rahim, apa saja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa saja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, maka, jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai.

Jadikanlah cintaku kepadaMu lebih aku utamakan daripada cintaku kepada keluargaku, diriku sendiri dan dunia seisinya. Hidupkanlah aku dengan cintaMu dan jadikanlah aku bagiMu seperti apa yang Engkau cintai.

Ya Allah, jadikanlah aku mencintaiMu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaanMu. Aku memohon perlindunganMu daripada cinta yang sia-sia. Aku hambaMu yang lemah ya Rabb. Tak mampu menolak ujian hati sebegini andai tiada bimbingan dan kekuatan daripadaMu.

Ucapan taubat itu benar-benar ikhlas dilafazkan. Rintihan taubat menjadikan seseorang hamba dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa. Dosa adalah penyakit dan istighfarlah syifa'nya. Bagi mengelakkan hati menjadi lalai maka dengan istighfar, insyaAllah, berupaya menjadikan seseorang hamba semakin menebal takwa dan imannya. Itulah yang cuba dilakukan Insyirah.

******

Dua tahun sudah berlalu. Masa berjalan begitu pantas. Udara sejuk bumi Scotland mengelus lembut pipi Insyirah. Terasa baru semalam kaki memijak bumi orang putih ini. Rasa baru semalam berpisah dengan umi, abah, opah, kak long, adik-adik dan semestinya Aishah.

Terbangnya dia ke bumi Scotland ini untuk menyambung masternya di University of Edinburgh, Scotland dalam bidang microbiologi.

Dia membuka tingkap apartment. Sekarang ini musim sejuk dan salji turun dengan lebat. Tergelak dia tatkala mengingatkan dirinya yang sangat teruja melihat salji pertama kali di depan mata.

Terasa sejuk, dia mengenggam tangan. Asap nipis keluar daripada mulutnya. Pandangan mata tumpah pada sesuatu di jemari kanan. Bibir mengukir senyuman manis. Cincin belah rotan tersarung kemas di jemari halus wanita itu.

Ya, dia tidak keseorangan di bumi Scotland ini. Ada suami yang menemani. Seorang lelaki yang halal untuk dicintai. Benarlah, sekiranya cinta sebelum nikah itu betul-betul dipelihara, kemanisannnya akan sangat dirasai setelah bernikah. Ada hikmahnya mengapa dia diuji dengan ujian hati dahulu. Dia selepas itu lebih berhati-hati agar cintanya tidak dilempiaskan pada yang sia-sia.

Duhai diriku, ingatlah Allah di mana-mana saja, nescaya Allah tidak sekali-kali melupakanmu. Sujudlah pada Allah, berlindunglah dari segala kejahatan yang nyata mahupun tersembunyi, dari kejahatan seluruh makhluk dan paling penting, berlindunglah pada Allah daripada kejahatan diri sendri. Memang perit bermujahadah itu tapi yakinlah, perjalanan yang sukar pasti ada hikmahnya. Bersabarlah...

Biarkan Allah yang mengatur segala...
Semuanya akan baik-baik saja...
Semua Akan Indah Pada Waktunya...

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]

 Kala laut sunyi hebat melambung ombak benci

Teroleng-oleng sampan kecil mengayuh cari daratan
Angin jangan hembus pergi tenang ini
Aku cuma penumpang menumpang damai lautmu
Cuba lari menjauh desir ribut cebis hati
Cuba tutup mata membutakan kejamnya dunia

Demi umurku bersumpah
Aku penumpang paling bertuah
Punya sampan kecil tapi kuat menongkah langkah
Walau compang camping bertampal gam rekahnya
Walau layar cuma sehelai sejadah buruk hadiah dari Tuhanku

Malam bawa pergi matahariku
Siang bawa pergi bulanku
Penumpang buta tanpa cahaya
Meraba-raba di lautan belantara
Turun naik tinggi gunung ombak
Terkapai-kapai cari capai tangan Hidayahnya

Titis hujan tengkujuh ini menghanyut pergi lukisan mimpi
Dingin hembus nafas sang Murabbi bagai tanda aku dikasihi
Moga doa empati penumpang ini bisa terus menerobos hati Ilahi

Walau sesak sempit penjara sampan dilautan sunyi
Walau kencang angin tidak sayang padaku
Walau dikhianati bintang penunjuk jalan ini
Aku rela walau disimbah asid caci
Kerna aku penumpang sejati cuba cari titik sujud kasih Rabbul Izzati

Demi umurku bersumpah
Aku penumpang paling bertuah.

Artikel iluvislam.com

 
Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Dunia luaran dan dunia dalaman. Dunia luaran adalah apa yang kita lihat mengikut tahap maqam diri kita. Bermaksud apa yang terlihat oleh diri kita tentang dunia luaran ini adalah mengikut kefahaman, keyakinan, firasat, pengalaman dan hikmah dalaman diri kita.

Sebagai contoh, apabila kita melihat bos sedang marah dan menegur kita, kebiasaan yang kita faham adalah bos itu angin tidak betul, asyik-asyik nak marah, mood tiada, tengah tension dan macam-macam lagi mengikut tahap kita 'melihat'situasi tersebut.

Bagi sesetengah orang pula, ia melihat itu sebagai teguran dari Allah di atas kesilapannya ataupun untuk peningkatan prestasi mutu kerja. Lantas ia mengambilnya satu situasi yang bermakna untuk dipertingkatkan di masa hadapan dalam keadaan tenang dan senyum saja. Ianya bergantung pada tahap diri kita sebenarnya.

Satu contoh lagi. Kita melihat pisau. Jika yang melihat itu seorang penjenayah, maka baginya pisau itu berguna untuknya dalam jenayah yang akan dibuat. Bagi seorang tukang masak pula, pisau itu berguna untuk memasak. Subjek yang sama (pisau) tapi tahap diri manusia (penjenayah / syef) yang berbeza. Begitulah juga yang lain-lainnya.

Saya tak nak bercerita tentang dunia luaran, tetapi kali ini saya ingin berkongsi tentang dunia dalaman kita. Dalam kehidupan seharian, kadangkala banyak perkara yang tidak diingini berlaku dalam hidup kita. Apa yang dirancang tidak menjadi, keinginan tidak menjadi kenyataan. Bertemu dengan orang-orang yang buat kita benci, rimas dan tertekan. Di tempat kerja macam-macam hal, kena marah dengan bos, pekerja tidak membuat kerja dengan betul. Di rumah dengan anak, isteri, suami yang perangai tidak tentu hala, mood kejap ok kejap tidak. Rasa nak sahaja ubah semua itu mengikut apa yang kita nak.

Tapi tidak semudah kita nak ubah dunia luaran. Melainkan kita mengubah dunia dalaman kita dahulu barulah dunia luaran terlihat indah, insyaAllah. Sebagai pemahaman kita, apabila rambut kita serabai tidak kemas, cuba lihat di cermin. Rasa-rasa kita nak betulkan rambut dekat cermin atau betulkan rambut yang ada pada diri kita? Mestilah pada diri sendiri, betul?. Bila sudah kemas, cuba lihat balik di cermin, nampak kemas kan? Macam itu juga kalau kita nak ubah dunia luaran, ubah dulu dunia dalaman kita. Kalau kita melihat ujian itu menyeksakan, maka ubahlah diri kita supaya melihat ujian itu suatu rahmat dari Allah.

"Dunia luaran ibarat cermin yang ter-refleksi dari dunia dalaman bagi setiap diri manusia."

"Hasil yang terdapat pada dunia luaran (pada pandangan individu) adalah hasil dari program dunia dalaman"

Banyak artikel motivasi, tips motivasi dan kursus-kursus berkaitan kuasa minda, metafizik, afirmasi, visualisasi dan pelbagai lagi sumber-sumber untuk pengembangan diri kita untuk menjalani kehidupan dengan sukses. Apa yang penting semuanya itu adalah untukmembangkitkan potensi dalaman diri kita, mengubah ketrampilan diri untuk menjadi seorang khalifah, seorang manusia beriman dan bertaqwa yang hebat untuk menguruskan diri dan bumi Allah ini.

Saya ambil satu contoh dalam siri ilmu kuasa minda salah satu ditekankan adalah afirmasi atau saranan. (sebagai contoh afirmasi: Aku seorang yang ceria). Sebenarnya kita memprogram minda bawah sedar dan memberitahunya apa yang kita inginkan melalui kaedah dan teknik-teknik tertentu. Afirmasi ini harus dilakukan berulang kali dengan disertai dengan 'rasa @ feel'di mana kita seolah-olah sedang mengalaminya. Harus dengan keinginan dan keyakinan yang kuat.

Jadi, apa yang kita perlu faham di sini ialah sebenarnya apabila kita sering mengulangi afirmasi-afrimasi positif di atas tadi, (kita sedang mengubah @ memprogram dunia dalaman kita dengan apa yang kita ucapkan supaya dengan izin Allah ia menjadi kenyataan di dunia luaran). Apa akan terjadi ialah yang pertama wajah kita tampak ceria.

Senyum indah terukir sentiasa (hasil dari latihan afirmasi tadi). Aura ceria yang ada pada diri kita terpancar dan orang disekeliling kita akan dapat merasainya. Dan yang paling penting kita digerakkan oleh Allah untuk melakukan sesuatu atau bertemu dengan sesuatu perkara yang terbaik yang menghasilkan sesuatu akibat atau hasil yang pasti menceriakan diri kita terutamanya, dan orang lain amnya. Fahamkan betul-betul!

Jadi, bila dunia dalaman kita hebat, akan terlihat dunia luaran juga hebat. Biarpun pada pandangan orang lain itu biasa-biasa saja. Kita akan sering ditemukan atau bertemu dengan perkara-perkara yang hebat, menyenangkan dan berfaedah. InsyaAllah. Percayalah!

Inilah betapa pentingnya kita perbaiki dunia dalaman diri kita. Dan dalam Islam, semuanya lengkap dari atas ke bawah, luar dalam, zahir batin. Segalanya lengkap. Lihatlah orang-orang soleh, mereka tenang dalam setiap ujian. Bagi mereka ujian itu indah sebab ia datang dari Yang Maha Indah. Dunia dalaman orang-orang soleh telah terprogram dengan pelbagai aplikasi mahmudah (yang baik-baik saja), jadi apa yang terjadi pada dunia luarannya pun kelihatan baik-baik saja.

Apa saja yang kita belajar, itu semua untuk memperingatkan diri kita. Apabila kita telah memperingatkan diri kita, maka diri kita pula yang akan sentiasa memperingatkan kita. Itulah yang dikata, "jika mencari ilmu, maka ilmu menjaga kita."

-Artikel iluvislam.com

 

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Pengetahuan....

 Langit tinggi yang tadinya cerah bertukar gelap. Sekelip mata sahaja. Sekumpulan awan tebal kelihatan berarak di atas bumbung-bumbung biru universiti. Mentari yang hampir berlabuh di ufuk barat sudah tidak kelihatan. Habis sinarnya dihalang awan hitam. Sejurus kemudian, ruang angkasa institut pengajian tinggi yang dikenali sebagai Taman Budi dan Ilmu itu bertambah gelap.

Ketika petang sudah hampir tiba di penghujungnya, kelihatan ada beberapa orang muslim dan muslimah sedang duduk-duduk di ruang solat. Ada juga yang sedang membaca al-Quran.

Masjid yang terletak di tengah-tengah institut ilmu itu memang bertuah. Sentiasa 'imarah. Tidak pernah tidak ada jemaah. Rumah ibadah yang menjadi pusat pertemuan warga institut itu seringkali dikunjungi orang sekalipun penuntut-penuntutnya pulang ke tanah air masing-masing.

Perkongsian dalam pertemuan.

"Liz, ada musykilah?"

Liz mengangguk. Pelajar perempuan yang baru setahun jagung menjadi warga universiti itu tidak pernah segan mengaku ada masalah. Dia sangat terbuka. Tidak pernah berselindung.

"Masalah apa?" Saya bertanya dengan nada bersahaja. Mengajak dia untuk berkongsi.

"Kak, saya sedih. Saya sedih sebab setiap kali bersolat malam atau muhasabah, saya rasa susah nak menangis." Pelajar perempuan itu mula menyatakan masalah jiwanya.

"Kadang-kadang tu, saya sampai dah tak tahu nak buat apa lagi supaya menangis." Pelajar itu menyambung. Suaranya terketar-ketar.

"Ingatlah mati." Saya mencelah perlahan.

"Sudah. Tapi, tetap tak mampu menangis. Pernah saya minta daripada Allah ..." Bicaranya terhenti. Matanya mula berkaca-kaca. Dia diam. Menahan air mata daripada mengalir.

"Pernah saya berdoa, Ya Allah, kalau Engkau memang sudah tidak mengizinkan aku menjadi hamba yang baik, Engkau matikan sahaja aku."

'Astaghfirullah!' Spontan saya beristighfar di dalam hati. Pelajar ini kelihatan seperti sudah tidak tahan memiliki hati yang sudah tidak mampu mengalirkan air mata keinsafan. Semoga Allah masih memegang hatinya.

"Apa gunanya hidup kalau diri tak menjadi hamba yang baik untuk Allah," Pelajar itu menyambung dengan nada yang terputus-putus. Sejurus kemudian, mulutnya terpaku. Tiada lagi bunyi yang keluar dari peti suaranya. Lama dia membisu. Air mata mudanya kelihatan tumpah ke pipi.

Saya merenung ke permaidani merah yang menutupi lantai marmar masjid. Bermuhasabah sambil menyusun kata. Saya terus merenung, sedang adik perempuan tadi setia menunggu ungkapan saya.

Mohon diberi petanda arah menuju ke jalan keluar. Seketika kemudian, saya melihat wajahnya yang sayu. Matanya merah. Pipinya basah. Uraian air mata yang berterjunan di pipi diseka. Dia tunduk. Malu. Malu dengan diri sendiri.

"Liz, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Beruntunglah Liz kerana masih mampu menangis di sini, sekalipun tidak mampu menangis selepas solat." Sengaja saya berkata sedemikian. Mahu menyedarkan dia bahawa dirinya masih mempunyai hati. Hati yang masih mampu menangis apabila disentuh.

"Duduk dan bermuhasabahlah lagi. Mungkin jiwa kita belum cukup ikhlas untuk memohon keampunan. Mungkin hati kita tidak benar-benar ikhlas memohon taubat. Siapa tahu, dalam kita bersabar meminta ampun dan taubat, Allah mengizinkan hati kita untuk menangis." Saya memberi pandangan.

"Liz, Allah tidak mematikan Liz sekarang kerana Allah masih sayangkan Liz. Liz masih ada ruang. Liz masih ada peluang. Berdoa meminta agar dimatikan segera itu salah. Salah besar!" tegas saya.

Air matanya yang deras mengalir sebentar tadi berhenti. Terjaga dari lena sangkaan yang salah.

"Allah meminta kita berusaha, bukannya mengalah. Jangan meminta diri dimatikan hanya kerana tidak mampu menangis apabila mengenang dosa. Jangan meminta dimatikan sedangkan diri tidak dalam keimanan."

"Rugi besarlah kita andainya di akhirat kelak, antara kita dengan syurga jaraknya tinggal sehasta, tapi takdir telah mendahului dan kita dicampakkan ke neraka. Kenapa?" Saya meninggalkan persoalan di hujung peringatan yang panjang-lebar. Semua mata yang hadir dalam pertemuan petang itu tertumpu ke arah saya.

"Sebab, kita tidak mengakhiri kehidupan dengan kebaikan. Sia-sia sahaja kita beramal sepanjang hidup, tapi di akhir kehidupan kita tidak berada dalam keimanan. Na'uzu billahi."

Pelajar perempuan itu mengangguk-angguk. Dia kelihatan yakin untuk meneruskan kehidupan. Kini, dia sedar bahawa sangkaannya agar lebih baik mati adalah salah.

'Ya Allah, ampunkanlah dosa adik ini. Ampunkanlah dosa semua manusia yang berada dalam pertemuan ini.' Saya berdoa di dalam hati, sendirian.

Allah, sungguh aku berpandangan bahawa mereka lebih baik daripadaku!' Semoga Allah menghimpunkan kami dalam rahmat dan berkat. Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Pesanan Kekasih Agung :

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda, dan baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan: "Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan empat kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga." (HR al-Bukhari; 3036 dan Muslim; 2643)

Saya menulis babak muhasabah ini di sini dengan harapan yang sederhana. Sangat sederhana. Semoga kita lebih mengingati-Nya setelah banyak dosa yang kita lakukan.

Saya menulis babak muhasabah ini di sini bukan kerana sudah mampu mengingati-Nya dengan sempurna, tetapi kerana berharap agar catatan sederhana ini terhitung sebagai langkah untuk saya mendekati-Nya. Sungguh, saya sangat terkesan dengan luahannya.

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 "Kita tidak seharusnya mencari yang terbaik, jadilah yang terbaik, nescaya akan datang pada kita yang terbaik."

Namun, dasar seorang manusia, kita sering tergugah dengan sesuatu kebaikan, kita lupa, kebaikan itu luas, subjektif.

Justeru, kita akan sering teringin untuk mencari yang terbaik, hingga, kadang-kadang kita lupa, kita ini siapa untuk mencari yang terbaik itu? Layakkah kita?

Sebagai seorang remaja, normal dan biasa, tidak terlepas juga untuk saya diduga dengan lintasan-lintasan hati yang sangat menguji.

Pernah saya menyoal pada seorang sahabat, apakah lintasan-lintasan ini? Sekadar duga, atau petanda? Apa hikmahnya?

Jika ini ujian, ya saya terima, tapi apa hikmahnya? Apa yang ingin Tuhan bicarakan dengan saya?

"Bila sampai seru, takdir, maka yang pelik akan menjadi biasa." Abang Fuad malam itu penuh lagak bercerita, sambil menunggu makanan yang dipesan di restoran itu.

"Maksudnya?" Saya mula menagih penjelasan.

"Jika ditakdirkan jodoh, hari ini berkenalan, esok sudah bernikah, Allah boleh buat apa sahaja, itulah takdir." Dia menyambung.

"Ooo, ok, saya nak tanya sedikit boleh?"

"Mengenai apa?"

Tersenyum, saya sudah lama menyimpan soalan ini.

"Kenapa kadang-kadang kita ada lintasan rasa yang sangat sukar ditepis, apa tandanya?"

Abang Fuad agak selamba mendengar. Saya kira dia sudah faham, atau buat-buat tidak faham.

"Maksudnya, cuba terangkan lagi soalan itu." Saya sudah agak.

"Bagaimana jika sesuatu lintasan rasa terhadap kita itu, mahu ditentukan sebagai suatu ujian, atau suatu petanda?" Saya cuba berselindung lagi.

"Semua petanda, adalah ujian. Begitulah sebaliknya. Jika rasa yang hadir itu lain daripada yang lain, maka, eloklah beristikharah." Senang sahaja jawapannya.

"Cepatnya?"

"Tidak, ini untuk mencari keputusan hati, istikharahlah, mana tahu, mungkin itu takdirnya."

"Bagaimana kita nak pastikan, bahawa itu yang terbaik buat kita?" Saya bertanya lagi.

Sahabat-sahabat yang lain sedang khusyuk menonton permainan bola sepak secara langsung. Saya kira mereka tidak menyedari perbualan 'hangat' kami ini.

Saya teringat suatu kisah, yang saya dapat daripada Abang Fuad juga.

Pada suatu hari di sekolah, seorang pelajar bertanya kepada gurunya. Ketika itu, guru tersebut sedang mengajar mengenai kasih sayang.

Pelajar itu bangun dari kerusi duduknya, "Cikgu, bagaimana kita ingin memilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang?"

Guru tersebut tersenyum, "Ok, kamu ikut apa yang cikgu suruh. Kamu pergi ke padang, kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput yang terbentang di depan kamu. Pilihlah rumput yang paling cantik, tanpa menoleh ke belakang lagi walaupun sekali. Petiklah rumput yang kamu rasakan ianya paling cantik. Kemudian bawa ke kelas."

Apabila pelajar tersebut pulang semula ke kelas, tiada sehelai rumput pun di tangannya. Guru itu bertanya, "Kenapa tiada rumput yang dipilih?"

Jawab pelajar itu, "Tadi, semasa saya tengah berjalan, saya sudah pun mencari rumput yang paling cantik. Memang ada, banyak sekali rumput yang cantik tapi cikgu cakap, petik yang paling cantik. Maka saya pun teruskan berjalan ke depan sambil mencari rumput yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang walaupun sekali. Sehinggalah saya tiba di hujung padang, saya tidak juga menjumpai rumput yang paling cantik. Mungkin rumput di antara belakang saya tadi ada yang cantik, tapi, disebabkan cikgu tidak benarkan saya menoleh ke belakang semula, maka tiadalah rumput yang paling cantik untuk saya petik."

Agak-agak, apakah jawapan yang bakal guru itu berikan?

Usahlah mencari yang terbaik, apa yang ada di depan itulah yang terbaik. Usah mencari yang terbaik, tapi jadilah yang terbaik. Usah menoleh ke belakang lagi, teruskan mara.

Apa yang sudah ketinggalan, biarpun ada di antaranya yang terbaik, usahlah cuba berharap lagi. Apabila kita sudah bertemu dengan seseorang, usahlah kita berusaha untuk mencari yang lebih baik lagi daripada dia. Kita patut hargai insan yang berada di depan kita sebaik-baiknya.

"Kita ini terlalu lemah dalam memilih."

Sambar Abang Fuad menyedarkan saya dari khayalan cerita tadi. Ya, benar, kita terlalu lemah dalam memilih.

"Bersikap matanglah, ini bukan soal pilihan lagi, ini ialah soal perasaan." Tambahnya.

"Abang tiada jawapan untuk soalan tadi, namun, jika benar-benar untuk tahu, beristikharahlah, abang harap, kita tidak lemas dalam lautan perasaan, terkapai-kapai, hingga tenggelam."

"Kita ibarat pelajar yang mencari rumput tercantik, akhirnya..."

Saya menyimpulkan..

"Tidak usah terlalu berfikir, kita masih jauh dalam permusafiran, perkara-perkara begini, seperti yang pernah abang cakapkan, subjektif dan infiniti."

"Ya abang, saya masih cuba berenang dalam lautan perasaan yang dalam ini, agar tidak lemas."Saya sengaja menilai diri sendiri.

Berikanlah yang terbaik, bukan mencari yang terbaik. Saya berbicara dalam adaptasi sebuah kisah dan dialog.

Untuk saya bercakap seorang diri tentang hal ini, siapalah saya. Kisah ini, adalah untuk sahabat yang setakah dengan saya, alam remaja, klimaks sebuah noda.

Pada celahan rumput itu, kita mencari sesuatu. Tapi biar bertepatan pada waktu, usah terlalu menunggu.

Perasaan akan sentiasa melintas, umpama padang akan sentiasa ditumbuhi rumput. Usah dicari perasaan yang hakiki, kerana semuanya dugaan yang berhikmat tinggi.

Pada celahan rumput itu, terlalu mencari, akan menyusul kecewa berganti. Jika kita benar-benar menyedari, pada hemat sebuah rasa, maka, kenapa kita perlu takut untuk tidak mengendahkan. Perasaan akan sering hadir, jerihlah kita untuk sentiasa melayani.

Mungkin ada di antaranya satu hikmah berganda, tapi, seperti biasa, berselambalah. Jadilah lelaki, bukan romeo, bukan juga majnun. Jika romeo, maka, itu bukti bahawa kita telah lemas dalam lautan perasaan.

Jika majnun, itu buktinya bahawa kita sudah gila. Justeru, usah menjadi mereka, tapi jadilah kita. Jika ada rasa yang kuat mendesak, beristikharahlah.

Jika kita tidak mendapat apa yang kita suka, maka, kita perlu suka apa yang kita dapat.

Pada celahan rumput itu, pasti ada, rasa yang benar hakiki. Pelajar itu pun buntu mencari, begitu juga kita. Cuma, mohon ditetapkan hati. Mohon, agar, segalanya bererti, bukan hanya, mainan sebuah kehidupan dan perasaan.

Artikel iluvislam.com

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Kenangan itu masih mengimbau kotak mindanya. Masih menjadi teman setia kepada mimpinya yang enggan pergi pada dinihari yang kedinginan itu.

"Adakah engkau melihat orang yang mengambil nafsunya menjadi Tuhannya dan Allah menyesatkannya kerana mengetahui (kejahatan hatinya) selepas didatangi ilmu kepadanya." ( Jatsiyah:23)

Mengapa dia masih berperasaan sedemikian sedangkan telah diusir perasaan itu dari dalam dirinya sejak lama dahulu? Hidupnya kini telah dibebaskan dari perasaan yang membelenggu jiwanya itu. Perasaan serba salah dan dosa yang amat. Kenapa kenangan itu harus kembali semula?

Dan dia cuba untuk memadam memori silam namun kisah itu bagaikan berterbangan di kotak matanya yang hampir berair.

5 tahun lepas..

"Awak, awak sanggup tak buat apa sahaja untuk saya?" Harman dengan lembut bertanya, sambil membelai rambutnya yang bertebangan dek angin yang melambai.

"Hurrm.... Apa dia? Banyak dah saya buat untuk awak ini," dengan senyuman manja dia membalas.

Ya, apa lagi yang dia tak buat untuk Harman. Segala-galanya akan diserahkan buat pujaan hatinya itu. Harman Haji Khalid. Pemuda idaman yang menjadi siulan rakan-rakan di kampusnya. Pemuda tinggi lampai berbidang sasa. Lesung pipinya menjadi pelengkap kepada wajahnya yang sudah setia tampan. Dengan sedikit kumis di dagunya, Harman mempu menggetarkan sekilas pantulan mata wanita. Dan Harman adalah miliknya! Siapa yang tidak berasa bertuah mendapat jejaka itu. Apa sahaja untukmu Harman akan kutunaikan!

"Saya tahu. Saya tahu awak sanggup buat apa sahaja untuk saya. Tapi itulah, permintaan ini agak berat sikit. Tak taulah awak sanggup tak nak buat,"

Adlina mula berkira-kira sendiri akan permintaan Harman. Kadang-kadang dia sendiri keliru dengan dirinya sendiri. Dia tahu apa yang dilakukannya adalah salah. Duduk berdua-duaan di tempat sunyi sambil bersentuh-sentuhan. Tapi dia tak mengerti kenapa dia sangat suka buat perkara itu. Dia merasakan kebahagiaan tak terhingga bersama Harman. Hidupnya terasa berbunga-bunga penuh makna. Hari-hari dia bernyanyi riang sepulangnya dia pulang keluar bersama Harman sehinggakan adik beradiknya lali dengan suara sumbangnya menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.

Kadang-kadang bisikan hatinya menghembus udara suci, minta dirinya untuk berhenti sejenak dan berfikir. Kadang-kadang dia membuka mahkota agungnya di hadapan Harman.Harman teringin melihat kecantikannya. Kecantikan yang sepatutnya dinikmati oleh mereka yang berhak. Namun Harman berjanji padanya jika ada rezeki mereka akan berkahwin. Dia tahu Harman takkan menipu. Harman terlalu baik untuk menipu.

Allah akan ampunkan dosaku, bisiknya. Dia bukan tak nak kahwin. Cuma masanya belum lagi. Dan dia pasti, pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Lagipun dia masih solat dan bertudung di hadapan orang lain.

"Cakaplah sayang, apa dia?"

Perlahan-lahan Harman meramas tangannya dan memegang kejap kedua belah tangannya. Jantungnya berhenti berdegup. Kadang-kadang Harman gemar membuat aksi-aksi romantis, dan dia sangat rasa dihargai apabila Harman melayannya sebegitu.

"Adlina permata hati saya, sudikah Adlina menjadi pemaisuri rumah tangga saya? Yang akan mewarnakan hari-hari saya dan menjadi ibu kepada anak-anak saya?"

Dia gumam. Terkesima. Antara gembira dan teruja. Dia tak mampu berkata apa-apa. Ada manik-manik yang hampir jatuh di pipinya. Perasaannya terlalu gembira tetapi tiada kalimah yang dapat mengucapkannya.

"Tapi Adlinaku sayang, boleh tak saya nak minta sesuatu dari awak?"

Dan dia membiarkan Harman berbisik halus di celah rongga telinganya. Matanya bulat tatkala Harman habis berbicara. Diketap kedua bibirnya. Keliru dirasakan dirinya ketika itu. Dia masih belum boleh berkata-kata sambil merenung bebola mata Harman yang berharap.

Lama ditenung mata hazel jejaka yang menjadi pujaan ramai itu. Mata itu mampu mencairkan hati perempuan-perempuan yang lemah.

Dan akhirnya dia mengangguk setuju...


"Tolong aku Azia! Tolong aku! Dia nak orang lebih 21 tahun untuk kasi kebenaran aku buat operation tu!"

"Yang kau buat kerja tu sape suruh. Kau tak ingat Tuhan ke? Tak ingat dosa pahala? Kau tak ingat kat mak ayah ke? Pastu kau nak heret aku untuk tolong kau?"

" Jangan macam tu Azia, aku perlukan sangat pertolongan kau sekarang ni. Kau jangan tambahkan lagi masalah aku!"

Adlina menangis teresak-esak di peha kakaknya. Dia rasakan empangan air matanya telah pecah. Dia sangat bingung ketika itu dan tiada siapa lagi yang boleh diminta pertolongan melainkan kakak kandungnya sendiri.

" Aku tahu kau sayangkan Harman tu. Tapi dia yang harus bertanggungjawab ke atas kau. Aku bukan tak nak tolong kau tapi aku nak dia bertanggungjawab!"

" Azia! Dia tak ngaku tu anak dia. Dia dah tinggalkan aku dah! Dia tu memang tak guna! Jantan miang! Pergi jahanam dengan dia!" Adlina terus menerus menangis sambil menjerit-jerit kepada kakaknya. Mujurlah dia berada di flat kakaknya yang tidak berpenghuni. Dihentak-hentak bantal yang berada di sofa ruang tamu.

Dia berasa dunianya gelap. Dia harus gugurkan kandunganya itu! Dia mesti! Tapi dia masih di bawah umur. Cuma kakaknya sahaja harapannya untuk dia mendapat tanda tangan keizinan untuk melakukan pengguguran itu. Tanpa tanda tangan itu, tiada klinik yang akan menerimanya untuk dibedah.

"Ok. Begini. Aku sanggup tolong kau. Tapi dengan satu syarat." Kakaknya menarik nafas berat. Seolah-olah mahu memberi amanah besar di pundaknya.

Kakaknya menyambung, "Aku nak kau tinggalkan universiti itu dan apply untuk study di overseas. Aku nak kau tinggalkan Harman itu. Aku tak mampu nak tanggung kau ke sana. Mak abah tak boleh tahu pasal benda ini. Aku tak nak kau menyebabkan mereka tak mengaku kau sebagai anak mereka. Kau ada otak pandai, aku rasa kau akan dapat tempat tu. Bila kau tinggalkan universiti itu, kau jangan beritahu sesiapa pun kau akan ke mana. Aku tak nak kawan-kawan kau cari kau. Aku nak Harman betul-betul lenyap dalam hidup kau!'


Dia masih ingat pada malam hujan renyai di mana kakaknya Azia memberi ceramah yang panjang lebar dalam mencorakkan masa depannya. Dirasakan hidupnya ketika itu kelam dan gelap, segelap batu hitam di malam hari. Tetapi kakaknya memberikan sinar harapan baginya.

Dia berjaya mengugurkan kandunganya yang baru berusia 5 minggu itu. Itulah dosa besar paling dahsyat pernah dilakukannya setelah dosa yang dilakukan saat dia menunaikan permintaan Harman untuk menjamah tubuh yang tidak halal baginya. Mengapa dia begitu bodoh melakukan pekerjaan terkutuk itu?

Allah cintakan dia! Itu dia sangat pasti kerana Allah masih menyelamatkan dia! Setelah apa yang telah dia lakukan Allah masih sayangkan dia!

Dan kini dia melalui kehidupan yang bersih, sebersih bayi yang bahu lahir. Dia bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya.

"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak berdosa lagi" (Hadis)

"Adlina, akak nak tanya ni....,'

Kak Rahmah yang menjadi penjaganya di bumi kangaroo itu menyapanya mesra setelah melihatnya begitu lama mengelamun. Dia berada di rumah Kak Rahmah ketika itu kerana ada kuliah ilmu di situ.

"Adlina sudah bersedia untuk berumah tangga?"

Terkejut dan terperanjat, dia tunduk menyepi. Dia merasakan air matanya mahu gugur dan hatinya dirasakan mahu pecah. Namun digagahkan juga hatinya. Bagaimana mampu dia menjawab persoalan itu sedangkan dirinya itu kotor dan jijik? Lebih dahsyat dari bangkai anjing yang dicampakkan ke dalam lombong najis? Manakan boleh aku hidup bersama dengan manusia yang tidak pernah ada noda dalam dirinya?

"Sesungguhnya taubat yang dapat diterima oleh Allah untuk orang-orang yang mengerjakan kejahatan kerana kejahilan, kemudian mereka bertaubat dalam masa yang dekat" ( Nisa:17)

Lama dia menunduk. Tiba-tiba dia merasakan ada sentuhan lembut di bahunya.

'Lina, akak minta maaf jika pertanyaan akak mengguris hati Lina. Akak tidak tahu yang Lina belum bersedia. Walaupun Lina masih belum menceritakan pada akak tentang perkara yang sentiasa menghantui diri Lina, tapi akak sangat harap Lina akan dapat melupakan kisah itu. Allah itu maha menerima taubat. Dia mendengar doa hamba-hambaNya. Akak yakin, sebesar manapun dosa Lina pada Dia, Dia akan ampunkan Lina.'

Dia mengangguk lemah. Dalam hatinya tidak putus–putus beristighfar agar dikuatkan hatinya.

'Akak dan suami akak cuma risaukan Lina sahaja. Hidup di negara bukan Islam ini banyak dugaannya. Cabaran datang dari pihak bukan Islam mahupun ya.'


Lina mendengar kata-kata Kak Rahmah dengan penuh cermat. Walaupun persoalan perkahwinan adalah persoalan yang tidak mampu difikirkannya sekarang, namun dia tahu, semenjak mengenali Kak Rahmah, Kak Rahmah hanya berbicara jika perkara itu penting dan masanya sesuai sahaja.

Adlina sedar, dia telah banyak berubah semenjak datang ke situ. Tudungnya mula bertutup kemas. Pergaulannya sangat terjaga. Banyak ilmu-ilmu Islam yang dipelajarinya di situ. Malah dia benar-benar merasakan nikmatnya Islam itu apabila di datang ke bumi orang putih ini.

Dia sedar dia perlukan teman hidup yang kuat untuk menyokongnya untuk kekal berterusan di atas jalan ini. Yang mampu membimbingnya tanpa kebosanan mengenal penciptaNya dan beramal dengan sunnah NabiNya.

'Akak harap Lina sudi memikirkan perkara ini. Terpulang pada Lina untuk membuat pilihan. Pemuda itu sendiri tidaklah sempurna juga. Dia turut mengalami pengalaman yang serupa dengan Lina. Tapi, dia sudah pun bertaubat dari dosa-dosa silamnya. '

Lina mengangkat muka dan merenung Kak Rahmah penuh kaget. Mana akak tahu? bisik hatinya.

'Usah risau Lina, tiada siapa yang memberitahu kami. Cuma kami rasakan sahaja. Sudah ada seorang yang seperti Lina juga tapi alhamdulillah, di sini dia menemui cahayaNya.'

Adlina berfikir lama sambil menatap kosong ke sisi ruang tamu rumah Kak Rahmah. Teman-temannya sudah lama pulang. Sengaja Kak Rahmah minta dia pulang lewat hari itu.

' Jika Lina dah buat keputusan, nanti datanglah rumah akak minggu hadapan. Insyaallah dia akan datang juga untuk hadiri pengajian dengan suami akak. Dia pemuda yang paling baik akhlaknya pernah akak lihat. Tak pernah tinggal kuliah ilmu dan tidak pernah tinggal solat jemaah subuh di masjid.'

Adlina tersentak sejenak. Layakkah aku untuk pemuda itu? Manakan sama aku dengan dia! Adakah mampu aku memelihara cintaMu Ya Rabb di saat aku memiliki seorang lelaki dalam hidupku? Adakah aku tidak akan melupakanMu dan meninggalkan jalanMu di saat aku sudah berteman nanti?

"Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, ataupun perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah dan rasulNya dan berjihad di dalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya' ( Taubah: 24)

Dia sudah serik dikecewakan manusia dan dia pernah membenci lelaki dengan kebenciannya yang kesumat. Namun dia sedar dia tak boleh menyimpan perasaan itu. Allah menciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Tidak boleh kerana seorang pemuda dia membenci keseluruhan lelaki di atas dunia!

Tapi dia tidak mahu lagi terlalu menyintai manusia! Mereka membuatkannya kecewa!

'Perkahwinan itu seharusnya memberi kekuatan dan sinergi kepada individu dalam rumah tangga itu, bukan melemahkan. Jika isteri leka suami mengingatkan, jika suami lalai isteri menyedarkan. ' begitulah kata-kata Kak Rahmah di saat kami berbicara tentang perkahwinan dengannya.

Di saat itu, hawa dingin semula jadi menerobos ke dalam bilik sepinya, menggigilkan tubuh badannya. Di saat hening itu dia merasakan Allah sangat dekat dengan dirinya, lantas dia menadahkan tangannya ke langit sambil memohon:

" Ya Allah, jika benar dia pilihan terbaik untukku, maka tunjukkanlah aku jalanMu dan janganlah Kau palingkan cintaku dariMu."

Dia mendengar suara kekecohan berada di rumah Kak Rahmah. Bagaikan ada kenduri yang kecil. Kak Rahmah kata ada majlis ilmu, bukannya majlis makan-makan. Mungkin ramai orang barangkali, fikirnya.

Di saat dia masuk, ramai orang lelaki sudah mula beredar dari ruang tamu rumah Kak Rahmah itu. Tersipu-sipu dia bergegas ke ruang dapur untuk menemui Kak Rahmah. Segan dia kepada lelaki bukan ajnabi.

Kak Rahmah memeluknya dengan penuh kehangatan, menghilangkan hawa sejuk yang dialaminya di saat kedatangannya ke rumah itu.

'Ibu, mari sini ibu. Bawa Lina sekali,' Kedengaran suara Abang Hakim memanggil isterinya dari luar.

Kak Rahmah menarik tangan Lina dan di bawanya ke ruang tamu. Lina terlihat susuk tubuh yang agak dikenalinya duduk bersimpuh sopan di sisi Abang Hakim. Pernah aku lihat pemuda ini, dia berkira-kira. tapi di mana ya? Fikirannya pantas memikirkan. Dia cuba untuk mencuri-curi pandang ke arah lelaki itu namun lelaki itu juga tunduk statik menghadap lantai rumah.

Lina dengan mata tertunduk duduk di balik Kak Rahmah. Dia memang agak kekok berada dalam suasana begini. Apatah lagi dalam majlis yang sebegitu.

'Adlina Malik. Kenalkan, ini calon suamimu, Harman Haji Khalid.'

Di saat itu, dua insan di bilik itu mengangkat wajah masing-masing sambil merenung tajam antara satu sama lain. Ada makna di sebalik pandangan itu. Ada jawapan yang mahu diselidiki tapi suara mereka seolah-olah tenggelam di balik bunyian heater yang memanaskan ruangan di bilik tamu itu.

Kak Rahmah dan Abang Hakim mungkin menjadi insan paling hairan melihat mereka di tika itu.....

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: cerita....

 Melangkah ke alam 20-an sememangnya membawa insan bernama remaja untuk berfikir lebih jauh mengenai erti sebuah kehidupan. Terbentang dihadapannya seribu satu pilihan yang akan menentukan corak masa hadapan. Semuanya terletak di tangan masing-masing. Pilihan yang mana harus digarap terlebih dahulu.

Pelajaran, perhubungan, percintaan, perkahwinan adalah topik-topik yang tidak akan pernah lari dalam perbualan remaja normal seperti saya. Sering saya berkongsi cerita dengan ummi setiap kali berbual.

"Ummi, kak fatin dah kahwin!" jawapan yang diterima.

"Belajar dululah kak."

Niat di hati sengaja saya mahu bercerita, namun respon yang diterima berbeza pula. Saya tahu, ummi mahu saya fokus dalam pelajaran terlebih dahulu. Usah bermain-main dengan perasaan.

Ummi saya berkaca mata. Pernah saya bercerita lagi kepada Ummi.

"Umi, semalam ada seorang kawan akak, dia YM dengan seorang kawan lelaki ni. Budak laki ni mulakan perbualan. Salam sayang, pelik akak dibuatnya, macam bukan pelajar agama. Kalau tengah bercinta memang macam tu ya? "

" Mana ada erti cinta sebelum kahwin. Kalau dah berdua dalam YM, samalah juga macam duduk berdua bersama-sama tanpa orang lain. Yang ketiga siapa? Mestilah SYAITAN bukan?"

Pesan Ummi, " Kalau nak dapat anak soleh tu mesti permulaannya baik dan betul."

Tipulah kalau saya cakap saya tak pernah rasa suka dengan seseorang. Perempuan memang cepat jatuh hati. Sangat bahaya!.

Sangat normal untuk seseorang itu jatuh hati/ taruh perasaan/ minat dengan orang lain. Saya tidak terkecuali. Ya, saya berkongsi cerita dengan Ummi.

Bagaimana saya boleh asyik, suka, minat. Pesan umi, solat tahajjud minta Allah tetapkan hati.

Tetapi dalam masa yang sama, saya takut kalau-kalau saya menjadi fitnah kepada saudara tersebut. Kakak perlu doa pada Allah seperti ini :

Ya Allah aku mohon ampun sekiranya perlakuanku menyebabkan dosa kepada saudaraku.

Saya takut saya ini melalaikan saudara saya daripada Allah. Memang perlu rasa seperti itu, supaya kita takut dengan Allah. Doa pada Allah supaya hati kita terpelihara daripada gangguan syaitan itu.

Saya takut perasaan minat saya hanyalah membuatkan saya lebih jauh daripada Allah. Kalau ada teringat-ingat itu cepat istighfar. Selagi tidak ada yang sohih jangan rosakkan hati kita.

Resah, gelisah, semuanya bergaul dalam diri. Saya seolah-olah mahu menafikan rasa suka saya terhadap saudara tersebut. Tiba-tiba rasa cemburu dengan kawan-kawan yang rapat dengannya. Rasa 'insecure.' Rasa mahu cepat-cepat uraikan belitan perasaan ini.

Diakah untuk saya?

Siapa saya untuk dia?

Jika dia pun suka sama suka dengan saya, apa perlu saya buat?

Saya takut saya akan turut bercinta seperti kawan saya yang lain. Nah, mungkin saya pula akan teruji begitu? SAYA TAKUT!

Serabut sangat perasaan itu. Rencana Allah itu indah. Rupanya Allah lontarkan masalah yang serupa kepada seorang sahabat di Mesir. Kami punya fikrah yang sama. Masing-masing takut dengan perasaan ini.

Sedang berlari-lari melalui hari dalam perasaan ini, banyak pula post dan artikel mengenai cinta bertebaran di laman web kunjungan saya.

Banyak juga tazkirah dan peringatan mengenai perihal cinta. Saya dan sahabat selalu bertukar cerita, selalu mengingatkan diri masing-masing tentang matlamat hidup anak perantauan menuntut ilmu.

Sehinggalah hati saya ini terusik dengan serangkap kata-kata hikmah yang akhirnya menenangkan gundah tidak sudah.

Jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan agenda mencari si soleh, tetapi berusahalah menjadi yang solehah.

Bertemu yang soleh, belum tentu kekal, mungkin boleh berubah solehnya. Kerana si soleh adalah insan biasa.

Perkahwinan adalah sebuah proses menjadi dan bukannya mencari.

Orang kata, cinta itu tidak semestinya memiliki bukan? Lebih baik cinta dalam diam.

Semoga setiap pilihan kita itu dibawah bimbingan-Nya. Selalu kita mahukan sesuatu untuk memenuhi kehendak diri kita, tapi sering kita lupa, Allah tidak akan berikan setiap yang kita mahu tetapi Dia berikan setiap yang kita perlu.

Jadi, sekarang saya akan fokuskan diri, gandakan usaha untuk menjadi seorang ummi yang berjaya.

Kelak kekanda saya akan tiba jua. Kalau bukan di dunia, akan ketemu jua di syurga sana. Biiznillah...

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Tiada lafaz seindah syahadah,

Tiada kata seagung namaMu,
Dengan bismillah aku mulakan,
NamaMu ku seru Ya Tuhan.

Wahai hamba,
Seandainya engkau Nabi,
Takkan pernah sekali,
Aku menyusun kata,
Memberi nasihat bermakna,
Walaupun engkau manusia,
Tetapi engkau maksum.

Wahai hamba,
Seandainya engkau Malaikat,
Takkan pernah sekali,
Aku menutur kata,
Memberi teguran penuh hikmah,
Walaupun engkau hamba,
Engkau seorang yang taat,
Tak pernah buat silap.

Namun,
Sayangnya,
Engkau bukanlah Rasul,
Bukan jua seorang malaikat,
Engkau adalah manusia biasa,
Tidak terlepas dari melakukan dosa,
Maka hak aku mengingatimu
Dengan berpesan-pesan,
Hak kamu juga mengingatiku,
Dengan kalimah penuh hikmah,
Mengatur kalam redha,
Menuju jannahNya
Yang kekal abadi

-Artikel iluvislam.com

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: umum

 Setangkai mawar cinta untuk pencinta kebenaran,

Seluhur budi bicara sebagai tanda ingatan,
Segunung intan permata tidak ku mampu tunaikan,
Untuk membuktikan keikhlasan..

Hanya untuk dirimu yang bernama teman,
Ku ukirkan kenangan indah kita,
Untuk dijadikan perhiasan hati,
Ku lagukan kata-kata terindah.

Sebagai peneman di kala sunyi,
Memori yang tercipta antara kita,
Aku sematkan dalam album jiwa,
Penuh kenangan kita bersama.

Gurauan manja menyerikan suasana,
Seperti pelangi yang menyerikan dunia,
Ah.. begitu indah ukhuwah kita kan?
Semuanya kerana Berkat dan Rahmat Tuhan.

Tiada amarah yang tersulam antara kita,
Segala teguran diterima dengan hati yang terbuka,
Malah, terselit rasa syukur tidak terhingga,
Kerana.. Allah memberi kau sebagai teman yang setia.

Menasihati saat aku terleka dengan godaan dunia,
Menggembirakan diriku pabila duka menghimpit jiwa,
Kau tulus menghulurkan persahabatan,
Untuk keredhaan Allah dalam kehidupan.

Bersamalah kita berjuang demi menegakkan kebenaran,
Bukan kerana nama sebagai pahlawan,
Namun, sebagai makhluk yang mengingati Tuhan.

Setangkai mawar cinta aku lakarkan,
Kepada dirimu pencinta kebenaran,
Sebagai keikhlasan yang kau berikan,
Hanya kerana Allah dan Rasul junjungan.

Artikel iluvislam.com

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Di pagi yang kelam,

Ku tersedar dalam cahaya,

Lantas memori indah mengimbau,

Disaat itu,

Rindu kian memuncak,

Pada insan bernama kekasih.

 

 

Ya Allah...

Jangan jadikan kerinduan ini satu kelalaian,

Jangan jadikan kerinduan ini satu kealpaan,

Jangan jadikan kerinduan ini...

Meragut kerinduan utama padaMu dan ar-Rasul.

 

 

Sesungguhnya Ya Rahman...

Engkau mengetahui hati-hati hambaMu yang merindu,

Merindu pada insan yang tidak pasti,

Namun dia adalah harapan,

Kerana kami pernah mengukir janji,

Menaruh rasa rindu kami,

Menahan rasa rindu kini,

Yang ada hanya rindu padaMu, Sang Pencipta rindu,

Hingga tiba saatnya,

Rindu yang halal itu milik kami...

 

 

Maka Ya Rahman...

Teguhkan hati dan jiwa kami yang sedang merindu,

Jangan biarkan rindu itu mekar dan terus berbunga,

Mematuk dan terus menular bisanya,

Hingga bisa menjadi nanah merbahaya,

Dibuai angan dan mimpi yang tidak berkesudahan,

Kerana,

Semuanya tiada erti tanpa redhaMu,

Ya Rabbi..

 

-Artikel iluvislam.com

 

Posted:10/8/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Ada seorang wanita tua yang taat beragama tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu membuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa dimulai dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.

Suaminya sentiasa mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-kejap Bismillah. Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari, suaminya berkata, nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu".

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini".

Isterinya mengambil duit tersebut dan menyimpan di tempat yang selamat. Disamping itu, suaminya telah melihat tempat yang disimpan. Kemudian dengan senyap-senyap dia mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian, dia memanggil isterinya dan berkata : "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan". Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat itu dengan membaca Bismillah.

Dengan kuasa dan bantuan Allah, duit itu berada di tempat simpanan tersebut.

Alangkah terperanjatnya si suami.

Dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya. Ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

----

Semoga kisah tauladan ini mampu mengajak kita untuk mengamalkan ucapan Bismillah sebelum melakukan apa jua perkara.

Artikel iluvislam.com

Posted:9/25/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Pengetahuan....

 Cuaca tika senja ini sungguh indah, sekawan burung riang berterbangan di layar angkasa. Agaknya baru pulang dari mencari rezeki, desis hatiku. Mentari pula mula menyorokkan diri bagi memberikan peluang sinar sang rembulan menjelma...

"Subhanallah banyak sungguh nikmat-Mu. Namun, mengapa manusia masih mendustakan?"

Selang beberapa minit, seruan azan mula berkumandang, sayup-sayup di ruang angkasa menandakan waktu maghrib sudah tiba. Tanpa berlengah ku bawa diriku menghadap Pencipta yang esa. Seusainya solat, ada tazkirah yang disampaikan oleh pak imam. Hatiku berbunga.Sudah lama aku tidak mendengar tazkirah sebegini.Tika itu memoriku mengimbau kenangan indah bersama-sama rakan seperjuangan di alma mater. Rindu sungguh!!! Tajuk yang ingin disampaikan hari ini sungguh menarik, terutamanya kepada golongan remaja seperti aku.Tajuknya, 'Resepi Cinta Ibnu Athaillah'. Ayuh kita selaminya bersama...

Sidang hadirin sekalian, Ibnu Athaillah pernah mengungkapkan dalam kitabnya bahawa tidak ada yang dapat mengusir syahwat atau kesenangan dunia selain rasa takut kita kepada Allah sehinggakan mampu  menggetarkan jiwa atau rasa rindu kita kepada Allah yang boleh membuatkan hati kita merana. Ingatlah, kita tidak dapat mengelakkan diri dari disapa hembusan hangatnya cinta. Namun sedarlah kembali, apakah tujuan dan matlamat penciptaan diri kita ini, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Sedarlah wahai pemuda, bahawa cinta pada perempuan yang bukan isteri kita adalah syahwat dan cinta kepada seorang lelaki yang bukan suami kita juga adalah syahwat. Sebaiknya kita keluarkannya daripada hati kita secepat yang mungkin. Usah dibiarkan ia terus mengotori sekeping hati kita. Hati adalah raja yang mentadbir diri kita. Jika baik hati itu, maka baiklah diri kita. Namun jika buruk hati itu, maka buruklah diri kita. Sesungguhnya perasaan itu sukar untuk kita keluarkan atau usir dari dalam diri kita melainkan kita memiliki dua perkara iaitu:-

Pertama: Rasa cinta kita kepada Allah yang luar biasa. Rasa cinta yang menggetarkan dinding hati. Sehingga di hati kita hanya timbul kecintaan mendalam kepada Allah. Cinta kepada yang selain dari-Nya akan lenyap dan terusir dengan sendirinya seperti hembusan angin meniup pepasir di padang tandus.
Kedua: Rasa kerinduan kita kepada Allah yang maha dahsyat, sehingga membuatkan diri kita terpenjara merana. Andai kita berasa merana kerana rindu kita kepada Allah, maka kita tidak mungkin merana kerana cinta kita pada yang lain. Andai fikiran kita sudah sibuk memikirkan Allah maka tiada masanya lagi otak kita ligat berfikir mengenai yang lain.

Wah sungguh menarik kata imam tersebut.Terkesan sungguh sehingga mencecah lubuk dasar hatiku. Sekarang baru ku sedar, bahawa cinta kepada manusia bukanlah seindah yang disangka kerana mungkin akan membawa kepada perpisahan tetapi cinta kepada Allah sudah semestinya kekal abadi. Begitulah tazkirah yang ringkas tetapi meninggalkan sisa positif dalam hatiku. Ingatkan tukang masak saja ada resepi yang hebat rupanya pemikir islam dahulu lebih hebat dan hangat resepinya. Begitulah resepi cinta Ibnu Athaillah, seorang ahli sufi...

Posted:9/25/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: cerita....

 Zack: Joe, jom pergi solat. Kalau lewat nanti terpaksalah kita bersolat di luar masjid.

Pelawa Zack ketika dia hendak keluar dari pejabat. Hari ini adalah hari pertama Joe memulakan tugas di tempat kerja baru. Dan orang pertama yang sudi menjadi sahabat Joe adalah Zack.

Joe: Kau pergilah solat Zack, aku nak habiskan kerja ni.

Zack: Eh, tak per. Lepas solat nanti, boleh sambung kerja tu semula. Jomlah.

Joe: Kau sahajalah pergi. Aku tak solat hari ni.

Zack: La, mana boleh macam itu Joe. Solat adalah perkara yang diwajibkan ke atas setiap muslim dan muslimat yang mukallaf iaitu baligh dan berakal.

Joe: Kau kata aku ni tidak berakal lah ya ?

Zack: Bukan macam tu maksud aku. Kenapa kau tak nak solat ?

Joe: Buat apa nak solat. Kitakan muda lagi. Tunggulah bila dah tua nanti. Waktu tu nanti, barulah aku hendak tumpukan sepenuh perhatian aku untuk mengerjakan solat, pergi haji ke. Masa tualah waktu untuk kita beristirehat. Perbanyakkan amalan untuk di jadikan bekalan di akhirat kelak. Masa muda adalah waktu untuk kita bekerja kuat, kumpulkan harta untuk bekalan hari tua.

Mengucap panjang Zack apabila mendengar pendirian Joe dalam bab solat. Sudah jauh tersesat rupanya Joe.

Zack: Ehm kalau kau tak sempat tua, macam mana pula Joe. Katakanlah jika kau ditakdirkan meninggal pada hari esok ?

Joe: Eh yang engkau sibuk sangat ni apasal. Mak bapa aku tak pernah solat dan mereka juga tidak pernah mengajar aku untuk solat. Walaupun aku tidak solat, aku masih bernafas hingga ke hari ini. Rezeki aku masih di murahkan hingga ke hari ini. Jadi apa yang penting sangat solat ini ?

Zack: Solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam Islam. Ibadah lain tidak dapat menyamai ibadah ini kerana solat merupakan suatu manifestasi perhubungan insan kepada Allah, mengandungi pelbagai hikmah serta mampu menjadikan individu Muslim itu benar-benar bertaqwa.

Solat juga merupakan tanda terima kasih kita di atas segala rezeki yang di kurniakan dan begitu juga dengan nyawa yang telah di beri pinjam kepada kita. Tujuan kita hidup di dunia ini adalah untuk beramal kerana hanya amalan kita sahaja yang akan menjadi tiket untuk kita ke syurga ataupun ke neraka.

Joe hanya memandang screen komputer sambil tangannya mengetuk - ngetuk pensil di atas meja tulis.

Zack: Joe, masih belum terlewat untuk kau bertaubat. Aku bersedia untuk membantu kau Joe. Suatu ketika dahulu, aku juga seperti kau Joe. Islam atas sebab keturunan sahaja. Hal solat, puasa, aku tidak pernah ambil kisah.

Hinggalah pada suatu hari, aku di uji dengan kemalangan yang dasyat. Aku koma sebulan. Selama aku dalam ke adaan koma, aku telah bermimpi untuk melihat segala balasan yang akan aku terima di sebabkan kejahilan aku. Tunang aku meninggal di tempat kejadian dan dia sedang hamil anak luar nikah aku ketika dia meninggal Joe. Aku amat terkilan kerana dia tidak sempat untuk bertaubat.

Hanya aku yang masih di beri kesempatan untuk memperbaiki segala kesilapan lalu. Setiap kali selepas bersolat, aku tidak lupa berdoa untuk arwah tunang aku. Moga dengan sedikit usaha dari aku ini, dapat meringankan azab kubur yang sedang di hadapinya di sana. Mari Joe, aku bantu engkau.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

"Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku'nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar." Riwayat Muslim

Posted:9/25/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Seorang anak kebiasaan akan lebih menghargai ibu bapanya setelah dia memiliki cahaya mata yang pertama. Betapa rumitnya membesarkan bayi yang baru dilahirkan hinggalah usia meningkat dari tahun ke tahun dipenuhi dengan pelbagai cabaran.

Saat itulah, baru menceritakan semula penat lelah ibu dan bapa yang membesarkannya suatu ketika dahulu. Selain, kepayahan ketika mengandung hinggalah tiba waktu melahirkan.

Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."(Surah Luqman ayat: 14)

Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan. Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan terhadap anak yang pernah dibesarkannya.

Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra' ayat: 23)

Maksud "berbuat baik kepada kedua ibu bapa" sebagai mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah mereka berada di usia yang tua.

Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam,anak lelaki yang paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.

Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)."(Riawayat Muslim)

Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.

Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.

Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.

Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya  perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya  kedua telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : 'Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra' ayat : 24)

Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.

Para isteri perlu menyedari hakikat kewajipan suami terhadap orang tuanya dengan merelakan suami menunaikan tugasnya terhadap kedua ibu bapanya dengan sempurna sekalipun memerlukan masa, wang dan pengorbanan lain. Menghalang suami dari berbakti kepada kedua ibu bapanya di hari tua adalah satu pilihan yang kejam.

Mengambil hak seorang ibunya yang benar-benar mengharapkan adanya anak yang akan mengingati jasa dan pengorbanan silam dengan menjaganya saat-saat tidak berkeupayaan adalah satu sifat yang tidak berperikemanusiaan. Alangkah baiknya sekiranya masih ada isteri akan mengingatkan suami akan kewajipan menjaga orang tuanya.
Kita perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku pada Alqamah, seorang pemuda yang hidup pada zaman Rasulullah SAW. Dia tidak dapat mengucap kalimah syahadah lantaran sikapnya yang mengutamakan isteri daripada ibunya. Sedangkan Alqamah merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah, rajin menunaikan solat, suka bersedekah dan sering berpuasa.

Lantas, Rasululllah SAW memanggil ibunya bagi mendapatkan keampunan, sebaliknya ibunya menolak kerana masih berkecil hati dengan sikap Alqamah yang mengutamakan isterinya.   Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya.

Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan seterusnya Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sebaik sahaja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda bermaksud: "Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya."(Hadis riwayat Abu al-Laith)

Para isteri perlu lebih memahami hak-hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak kita juga akan bertindak dengan apa yang pernah kita perlakukan terhadap ibu bapa  kerana kesaksamaan Allah yang maha adil. Justeru, isteri harus bersikap reda dengan ruang-ruang yang perlu dipenuhi oleh suami terhadap ibu bapanya.

Kehadiran anak adalah sesuatu yang berharga di hari tua. Nabi Ibrahim meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana diberi anak yang bakal menemani di hari tua sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:

Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. (Surah Ibrahim, ayat 39)

Posted:9/25/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Pengetahuan....

 Bagaimana keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau?

Ya, tentu sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas cengkaman harimau.

Begitulah perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Malangnya, hal yang sepenting itu tidak dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.

Kita sibuk memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya semakin kuat?

Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.

Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu.

Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.

Kuasai Nafsu, Kuasai Dunia

"Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia," demikian kata cerdik pandai.

Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia.

Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah 'hamba' yang baik tetapi 'tuan' yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya.

Firman Allah: "Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya." (Surah al-An'am 6: 32)

Al-kisah, seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun bertanya, "siapa kamu?"

Petani yang soleh itu menjawab, "aku seorang raja."

Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, "raja kerajaan mana?"

Petani menjawab, "raja untuk kerajaan diriku."

Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, "adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?"

Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.

Begitulah dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya.

Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu.

Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan? Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.

Dikuasai dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan. Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang memperalatkan kita.

Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia.

Selain itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan ahli-ahli tasawuf; cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.

Apabila semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai dirinya.

Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:

"Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?"

Manusia Dan Mujahadah

Seterusnya, apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita.

Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:

1. Telah menyerah kalah.

Golongan ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah: "Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya." (Surah al-Jatsiyah: 23)

2. Sedang dan sentiasa berperang.

Golongan ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: "Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu."

3. Orang yang telah menang.

Golongan itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa siaga amat diperlukan setiap masa.

Erti Mujahadah dan Kepentingannya

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah.

Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, "tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib." 

Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah:

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya" (Surah al-Naziat: 40-41)

Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah. 

Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya:

"Tidak beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa." Baginda juga bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."

Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.

Istilah "mujahadah" berasal daripada kata "al-jihad" iaitu berusaha segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul.

Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali: "Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin."

Selain itu ilmu, taktik dan strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak dibicarakan lagi.

Ironinya, jika dengan musuh zahir yang jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak indah sahaja.

Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah s.a.w. bersabda:"Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya."

Prinsip Asas Dalam Melawan Hawa Nafsu

Berikut tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah menggariskan tiga prinsip asas berikut:

1. Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.

Nafsu yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan (berpuasa).

Oleh sebab itulah dalam Islam kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu seks dengan berpuasa.

Selain menahan perut daripada banyak makan, ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya, menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

Semua ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.

2. Membebankan nafsu itu dengan ibadah.

Setelah nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat.

Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk 'menyeksa' nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.

Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran,  hadis-hadis sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta mendapat petunjuk (mursyid).

Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan.

Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas.

3. Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.

Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah.

Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu).

Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.

Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah s.a.w. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya:

"Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali kau lupa berdoa kepada Allah dengan doa ini:

"Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu."

Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah:

"Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah pelindungku dan pemimpinku."

Langkah-Langkah Jalan Mujahadah

Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:

1. Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.

Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib.

Kita mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut kategorinya tersendiri.

2. Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.

Tidak cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk mngamalkannya apabila diserang musuh?

Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.

3. Mempraktikkan ilmu.

Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting.

Perkara ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.

Semua itu kerana mereka belum 'mahu', dan baru sekadar 'tahu'.

Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktikkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu 'tahu' tempat letakkannya di akal tetapi 'mahu' itu letaknya di hati.

4. Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.

Ramai juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar "hangat-hangat tahi ayam". Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran.

Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.

Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap.

Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

"Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit."

"Alah bisa, tegal biasa," begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan.

Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama, racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada penawarnya.

Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.

Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan.

Nafsu seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan, keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerak kepada pembangunan ummah.

Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.

Manusia yang dibekalkan dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah.

Sebaliknya, malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal).

Jangan menoleh ke belakang... tempuhlah jalan mujahadah.

Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah.

Tidak ada jalan pintas!

Posted:9/25/2011 - 0 comment(s) [ Comment ] - 0 trackback(s) [ Trackback ]
Category: Renungan

 Kemalasan dilihat sebagai satu fenomena yang sering terjadi pada manusia. Haiwan? Tumbuhan-tumbuhan? Tidak pernah pula makhluk Allah ini kita lihat kejadian malas berlaku pada mereka. Mengapa kita? Kerana kita punya nafsu. Tetapi Allah itu Maha Pengasih, Dia tidak berlaku zalim pada hamba-hamba-Nya. Oleh itu Dia telah menciptakan nafsu seiring dengan adanya akal. Akal yang boleh memimpin nafsu.

Dengan adanya akal, ia diperintah untuk mencari ilmu yang Allah S.W.T telah turunkan ke bumi. Akal yang mencari ilmu yang baik lantaran akan membawa ketundukan kepada nafsu dan akan menyinarkan ketenangan buat jiwa. Sebaliknya pula bagi akal yang telah terpalit noda sewaktu mencari ilmu ia akan gagal memberikan keharmonian buat jiwa malah nafsu pula yang memegang tampuk pemerintahan bagi diri. Jadilah diri yang telah diselebungi sifat malas di dalamnya.

Di sini ada beberapa ilmu tentang malas yang telah saya dapati.

Malas boleh kita hindari ketika ia datang menyerang kemahuan dan semangat kita, di bawah ini ada beberapa tips antaranya:

1. Membasuh muka atau mandi ketika rasa mengantuk menyerang.

2. Mengubah posisi duduk ketika membaca. Misalnya dari duduk berubah menjadi berdiri, namun disarankan jangan dari duduk terus berbaring kerana ia boleh membawa kepada tidur.

3. Berpindah dari ruang baca ke ruang yang lain. Kalau kita berada di dalam bilik, berpindah dari bilik kita ke beranda, ruang tamu atau boleh juga ke dapur.

4. Menghirup udara yang segar dengan cara berdiri di tepi tingkap atau membuka tingkap yang terdapat di bilik lain untuk menambah kesegaran. Kita boleh juga memberikan bau aroma terapi kepada ruang tempat kita berada, misalnya dengan menyembur ruangan dengan wangi-wangian dan jika ada kipas angin, kita boleh menyembur pada kipas untuk menyebarkan wangi-wangian tersebut ke segala ruang. Ini kerana mungkin tidak semua ruang tempat kita berada mempuyai tingkap untuk pengudaraan.